Lelaki diburu polis tersilap masuk rumah bersebelahan pejabat APM

KES PECAH RUMAH 2 1

Lelaki buruan polis yang berjaya ditangkap di pekarangan sebuah rumah berhampiran Pejabat APM Daerah Hulu Terengganu semalam.

HULU TERENGGANU – Seorang lelaki yang diburu polis berhubung kes pecah rumah tersilap langkah selepas kelibatnya dilihat salah seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia(APM) Daerah Hulu Terengganu yang berada di dalam kawasan pejabat agensi itu di sini malam tadi.

Lelaki berusia 48 tahun terbabit ketika dipercayai cuba memasuki sebuah rumah yang terletak berhampiran pejabat APM berkenaan pada pukul 8.45 malam.

Pegawai APM Daerah Hulu Terengganu Mohd. Zabri Abd. Razak berkata, salah seorang anggota APM perasan kelibat suspek sewaktu hendak memasuki surau pejabat agensi itu untuk menunaikan solat sunat tarawih.

“Dia kemudiannya memaklumkan penemuan suspek kepada rakan-rakan sekerja lain.

“Mereka kemudiannya bertindak melakukan bergegas ke pekarangan rumah terbabit sebelum melakukan kepungan,”katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Mohd. Zabri berkata, suspek gagal meloloskan diri lalu tertangkap sebelum diserahkan kepada pihak polis tidak lama kemudian.

Beliau berkata, suspek sememangnya dikehendaki polis kerana terlibat dalam kes pecah rumah di Kampung Rahmat di sini baru-baru ini.  – https://amiminerals.org/