JASIN – Baru empat bulan dibebaskan dari penjara, seorang lelaki diberkas semula selepas disyaki mencuri kad akses milik Telekom Malaysia (TM) bernilai lebih RM168,000.
Suspek berusia 44 tahun itu berjaya ditangkap selepas cuba melarikan diri sejauh lima kilometer dengan memandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Wish kira-kira pukul 2.30 pagi, kelmarin
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Mohamad Rusli Mat berkata, suspek dikesan selepas memandu dalam keadaan mencurigakan dan semakan lanjut nombor pendaftaran kenderaan mendapati ia adalah palsu.
“Lelaki ini menyedari dia diperhatikan dan memecut dari Kampung Simpang Kerayong hingga Kampung Kerubi Kemenung yang sejauh lima kilometer sebelum berjaya diberkas selepas kenderaannya terbabas.
“Hasil pemeriksaan dilakukan ke atas kenderaan menemui 42 keping kad akses TM bernilai RM168,000 serta peralatan yang dipercayai digunakan untuk memecah kotak rangkaian telekomunikasi,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin hari ini.
Jelasnya, kad akses TM terbabit digunakan untuk mengagihkan internet di sesuatu kawasan dan kecurian kad boleh menyebabkan gangguan perkhidmatan kepada pengguna.
“Suspek dipercayai aktif mencuri komponen TM di kawasan terpencil dengan menyasarkan kabinet rangkaian yang diletakkan di tepi jalan atau kawasan perumahan, malah MPV digunakan juga dipercayai klon kerana tiada rekod dalam sistem Jabatan Pengangkutan Jalan,”katanya.-https://amiminerals.org/