KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga China yang memandu kereta super sport Lamborghini Aventador ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ekoran tiada lesen memandu.
Lelaki berusia 28 tahun itu ditahan bersama teman wanitanya ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Damansara Heights selepas menghadiri majlis pelancaran sebuah restoran makanan segera di Kepong.
Menurutnya, dia yang bekerja sebagai pencipta kandungan dan sudah tujuh tahun menetap di Malaysia baru sahaja membeli kenderaan itu pada harga lebih RM2 juta.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, pihaknya hanya mengeluarkan saman ke atas pemandu berkenaan.
“Kenderaan tersebut tidak disita kerana salah seorang penumpang memiliki lesen memandu yang sah.
“Jadi, kita hanya keluarkan saman kepada pemandu dan membenarkan penumpang berlesen sah membawa kenderaan tersebut pulang,”katanya ketika ditemui pada operasi khas bersepadu JPJ WPKL di Jalan Bangsar, malam tadi.
Kata Hamidi, daripada 1,627 kenderaan diperiksa, sebanyak 211 kenderaan diambil tindakan dengan 26 disita serta 463 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
“Kesalahan tertinggi dikesan membabitkan tiada lesen memandu, tiada lesen kenderaan motor, tiada lesen vokasional termasuk tiada insurans dan pengubahsuaian kenderaan.
“Bagi kenderaan yang telah diubah suai, kita beri masa selama 10 hari untuk pemilik mengembalikan kepada keadaan asal sebelum diperiksa semula pihak JPJ,”katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.
Hamidi berkata, operasi bermula pukul 8 malam itu turut disertai Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dengan jumlah keseluruhan petugas seramai 115 orang.
“Pihak JSPT telah mengeluarkan 30 notis saman sementara tiga daripada 29 warga yang diperiksa oleh JIM ditahan membabitkan dua wanita dan seorang lelaki kerana gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri.
“Ujian saringan air kencing yang dijalankan oleh AADK membawa kepada penahanan dua lelaki yang merupakan penunggang p-hailing dan seorang wanita,”jelasnya. – https://amiminerals.org/