Lelaki asing seludup anak buaya, kura-kura RM1.81 juta

pdrm

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 30 ekor anak buaya julung-julung dan 14 ekor kura-kura spesies ‘Indian eyed turtle’ bernilai lebih RM1.81 juta dirampas pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan penahanan seorang lelaki warga asing ketika Operasi Bersepadu Khazanah di ibu negara, semalam.

Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, berdasarkan maklumat dan risikan, suspek membawa spesis hidupan liar yang terkawal dari sebuah negara di Asia Selatan menggunakan laluan udara masuk ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Menerusi operasi tersebut, kita melalui Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) menumpaskan satu sindiket penyeludupan hidupan liar yang membawa kepada penahanan seorang lelaki warga asing.

“Kita merampas 30 ekor anak buaya julung-julung dan 14 ekor kura-kura ‘Indian eyed turtle’ yang bernilai RM1,818,900,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 68 (1) dan Seksyen 69 (1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

“Kes ini jarang-jarang berlaku dan spesis tangkapan tersebut juga mempunyai nilai yang sangat tinggi di pasaran gelap. Harga jualan bagi seekor anak buaya julung-julung adalah RM60,000 manakala kura-kura ‘Indian eyed turtle’ bernilai RM1,350 seekor.

“Tangkapan ini juga dipercayai melibatkan sindiket penyeludupan hidupan liar yang aktif di peringkat antarabangsa dan dipercayai dibawa masuk ke dalam negara untuk tujuan transit dan akan dipindahkan ke negara lain,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, bagi tempoh 1 Januari hingga semalam, pihaknya melancarkan sebanyak 135 serbuan di seluruh negara dan menahan seramai 384 orang atas pelbagai kesalahan yang melibatkan penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi serta penyeludupan hidupan liar.

Ujarnya, keseluruhan nilai rampasan dalam tempoh tersebut dianggarkan berjumlah RM420,059,342.50.

“PDRM komited menguatkuasakan undang-undang dan menjalankan operasi bagi mengekang sebarang aktiviti penyeludupan masuk dan keluar apa-apa kesalahan yang menyalahi peraturan dan undang-undang negara agar negara ini bukan menjadi pilihan utama sindiket menjalankan apa-apa aktiviti penyeludupan.

“Kita juga menyokong penuh hasrat kerajaan untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan keselamatan dalam negeri serta ketenteraman awam terpelihara.

“Orang awam dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat di wcbpsk_rmp.gov.my sekiranya mempunyai informasi berkaitan aktiviti penyeludupan dan pemerdagangan hidupan liar sama ada melibatkan aktiviti dari dalam mahupun luar negara,” pesannya. – https://amiminerals.org/.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *