SUNGAI PETANI – Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki mencuri kabel sistem semboyan dan komunikasi milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di laluan Gurun-Sungai Petani, dekat Laguna Merbok, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, tangkapan dibuat pada pukul 12.30 tengah hari tadi selepas video kejadian kecurian itu diviralkan oleh orang awam.
“Video berdurasi tiga saat itu memaparkan sebuah kereta Perodua Myvi dipandu seorang lelaki tempatan sedang menarik kabel,”katanya di sini hari ini.
Kata beliau, pihaknya kemudian membuat semakan dan mendapati terdapat satu laporan polis dibuat seorang juruteknik KTMB berkaitan sebuah ‘mainhole’ dikesan terbuka dan kabel sepanjang 200 meter yang bernilai RM20,000 telah dilarikan.
“Berdasarkan video itu, kita berjaya menahan seorang lelaki berusia 26 tahun bersama kereta yang digunakan dalam kejadian itu di belakang deretan rumah di Jalan Prima Residensi Utama, di sini tengah hari tadi.
“Suspek mengaku mencuri kabel berkenaan dan pihak kita menemui semula barang kes dan membawanya pulang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda untuk tindakan lanjut,”ujarnya.
Katanya, semakan mendapati suspek beralamat di Sungai Layar itu mempunyai sembilan rekod lampau membabitkan kes penyalahgunaan dadah, khianat terhadap harta benda dan mencuri.
“Dia juga pernah dikenakan hukuman di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959. Ujian saringan air kencing didapati suspek positif dadah jenis methamphetamine,”tambahnya. – https://amiminerals.org/