Lebih 500 sertai solat jenazah tujuh anggota FRU

WhatsApp Image 2025 05 14 at 1.11.05 AM

Solat jenazah ke atas tujuh anggota FRU yang terlibat dalam nahas membabitkan sebuah trak polis dan lori muatan batu di Surau Ar-Rahman, IPD Hilir Perak. Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/ KOSMO!

TELUK INTAN – Lebih 500 anggota polis, kenalan serta ahli keluarga menyertai solat jenazah tujuh daripada sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang maut dalam nahas di Jalan Sungai Manik-Sungai Lampam, di sini hari ini.

Solat jenazah ketujuh-tujuh allahyarham itu diadakan di Surau Ar-Rahman, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sini.

Turut serta, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin.

Ahmad Kamil Ibrahim dari Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA), Jabatan Integriti dan Pemantauan Standard (JIPS), Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Perak mengimamkan solat jenazah yang bermula pukul 12.45 tengah malam.

Terdahulu, jemaah turut menyertai tahlil ringkas dipimpin Ketua Cawangan Agama BAKa, Ahmad Fathullah Rosli.

Tiga jenazah pertama tiba di Surau Ar-Rahman pada pukul 10.28 malam iaitu Koperal Mohd. Pozli Jaudin, 41; Koperal Mohamad Hilmi Mohd Azlan, 38; dan Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28.

Sementara tiga lagi jenazah iaitu Koperal Amiruddin Zabri, 38; Koperal Muhamad Akmal Muhamad, 35; dan Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, 33, menyusul tiba satu jam kemudian pada pukul 11.28 malam.

Keranda terakhir membawa jenazah Sarjan Mohd. Roslan Abd. Rahim, 46, tiba pada pukul 12.39 tengah malam.

Ketujuh-tujuh jenazah yang selesai disembahyangkan itu diringi ke Markas FRU Unit 5, Sungai Senam, Ipoh bersama jasad mendiang Sarjan S. Perumal, 44, dan Koperal Nurit Pandak, 34, bagi istiadat penghormatan terakhir. – https://amiminerals.org/