Lebih 400 imigresen, polis \’kepung\’ Pandan Mewah

Pemeriksaan masih dilakukan pihak imigresen terhadap warga asing dalam serbuan dibuka Flat Pandan Mewah Ampang hari ini.

Pemeriksaan masih dilakukan pihak imigresen terhadap warga asing dalam serbuan dibuka Flat Pandan Mewah, Ampang, hari ini.

AMPANG JAYA – Flat Pandan Mewah di sini, yang dibanjiri warga asing termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI) dikepung Jabatan Imigresen Selangor dan pelbagai agensi penguat kuasa hari ini.

Serbuan bermula pukul 6 petang itu dilakukan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Lebih 400 penguat kuasa mengepung flat tersebut yang mempunyai 12 blok selain sekatan jalan raya (SJR) turut dibuka di laluan keluar masuk.

Menurut seorang penduduk yang ingin dikenali sebagai Suhaimi berkata, kebanjiran warga asing berlaku di kawasan sekitar sejak lima tahun lalu.

Lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an itu memaklumkan, sepanjang 20 tahun menetap di lokasi itu kehadiran warga asing telah menjejaskan imej flat tersebut.

“Bising dan mabuk selalu berlaku dalam kalangan warga asing sehingga anak-anak saya nak belajar boleh terganggu.

“Terpaksa tunggu sehingga geng-geng dia habis aktiviti pada pukul 1 pagi hingga 2 pagi. Ada kala nampak mereka main judi dalam talian,” katanya.

Warga asing pandan mewah.

Pengarah Jabatan Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, serbuan itu susulan aduan orang ramai mengenai kebanjiran warga asing.

Katanya, setakat pukul 7.30 malam pihaknya mencatatkan pemeriksaan hampir 400 warga asing yang mendiami kawasan itu.

“Kesemua yang diperiksa terdiri daripada kanak-kanak berusia dua tahun hingga orang dewasa berusia 50-an.

“Pemeriksaan awal mendapati majoriti warga asing yang diperiksa adalah warga Myanmar dan Bangladesh. Kita akan menahan mana-mana warga asing yang melakukan pelbagai kesalahan imigresen seperti tidak memiliki dokumen perjalanan,”katanya pada sidang akhbar di lokasi serbuan.

Menurut beliau, pihaknya telah membuat risikan di lokasi berkenaan selama seminggu sebelum melakukan operasi bersepadu.

Warga asing pandan mewah

“Kita juga akan mengambil tindakan mengesan mana-mana pemilik unit kediaman yang menyewakan kediaman mereka kepada warga asing selain melaksanakan operasi berkenaan dari masa ke masa bukan sahaja di Ampang Jaya, malah seluruh Selangor,”katanya.

Dalam operasi sama, MPAJ turut menyita barangan dua premis kedai runcit yang disyaki menjalankan penggajian pekerja warga asing tanpa permit.

MPAJ juga tidak menolak kemungkinan ada pemilik premis perniagaan yang menyewakan kedai mereka kepada warga asing sebagai ‘Ali Baba’.

Pihak JIM Selangor, akan mengeluarkan kenyataan terkini jumlah warga asing yang ditahan dalam operasi berkenaan selepas proses dokumentasi sepenuhnya selesai dijalankan.-https://amiminerals.org/