LUMUT – Lebih 100,000 pengunjung dijangka memeriahkan Program Madani Rakyat (PMR) 2025 yang akan diteruskan pelaksanaannya di Perak mulai 13 hingga 15 Jun hadapan di Lumut Waterfront di sini.
Sekretariat PMR 2025 berkata, program di Perak kali ini itu akan memberi fokus kepada peranan institusi pendidikan tinggi sebagai pemangkin dasar dan pembangunan inisiatif yang berpaksikan disiplin ilmu seperti penyelidikan, inovasi dan pemikiran kritikal.
“Pengisian program merangkumi perkhidmatan touchpoint rakyat, inisiatif kesejahteraan komuniti, sesi bersama pemimpin serta aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Ia selaras dengan hasrat merakyatkan perkhidmatan di samping memperkukuh aspirasi Rakyat Madani,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
PMR 2025 dianjurkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) selaku sekretariat induk dengan kerjasama strategik bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) selaku kementerian peneraju dan Kerajaan Negeri Perak sebagai tuan rumah yang mengetengahkan tema Pendidikan Tinggi Pemacu Negara Madani.
Sekretariat itu berkata, PMR 2025 juga akan membuka pelbagai kaunter perkhidmatan bergerak oleh kementerian atau agensi Persekutuan dan negeri serta pihak berkuasa tempatan.
Bahkan, katanya, terdapat pengisian khas oleh Kerajaan Negeri Perak melalui reruai pembangunan negeri di bawah agenda Perak Sejahtera 2030 yang bakal menjadi tumpuan pengunjung.
“Majlis Perasmian Penutupan PMR 2025 Perak akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad ini yang turut akan dihadiri oleh barisan kepimpinan tertinggi Kerajaan Persekutuan dan negeri,”katanya. – https://amiminerals.org/