Lebih 10,000 pesara kerajaan bakal berhimpun di Dataran Merdeka

WhatsApp Image 2025 05 13 at 1.24.19 PM

Jemale (tengah) menunjukan kenyataan media Sebagai Badan Bertindak Pelarasan Pencen Pesara Kerajaan. – Foto oleh BAAZLAN IBRAHIM / KOSMO!

JOHOR BAHRU – Lebih 10,000 pesara kerajaan bakal menyertai Perhimpunan Aman Sejahtera bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Mei depan.

Presiden Persatuan Pesara Pegawai Pendidikan Malaysia, Datuk Jemale Paiman berkata, himpunan itu diadakan bertujuan mendesak kerajaan menyelesaikan pembayaran pelarasan pencen dalam tempoh tiga bulan.

Katanya, perkara itu sebagai menghormati keputusan ditetapkan mahkamah berhubung perkara tersebut, pada Januari lalu.

“Perhimpunan itu akan dihadiri pesara kerajaan daripada pelbagai jabatan yang telah berkhidmat lebih separuh hayat mereka kepada kerajaan Malaysia.

“Atas jasa dan perkhidmatan mereka, Malaysia dikenali di seluruh dunia khususnya di negara-negara Islam. Jadi seharusnya keputusan mahkamah dihormati sebagai mengenang jasa pesara kerajaan selama ini,”katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hotel Seri Malaysia, di sini hari ini.

Tambah Jemale, pihaknya juga akan menyerahkan memorandum bagi mewakili hasrat lebih 900,000 pesara kerajaan yang semakin berusia lanjut ketika ini. – https://amiminerals.org/