Lari tinggal 5kg ganja di pangkalan haram

IMG 20250409 WA0034

Sebanyak 5 kg dadah jenis ganja dijumpai di dalam beg yang ditinggalkan di pangkalan haram MCA, Rantau Panjang semalam. FOTO IHSAN PGA

RANTAU PANJANG – Cubaan seorang penyeludup untuk membawa masuk sebanyak 5 kilogram (kg) dadah jenis ganja ke negara ini gagal apabila kegiatannya itu dikesan Pasukan Gerakan Am (PGA) di pangkalan haram MCA di sini semalam.

Dadah yang bernilai RM15,500 itu dijumpai ditinggalkan di dalam sebuah beg kira-kira pukul 6.30 pagi semasa Batalion 9 PGA menjalankan Op Taring Wawasan Kelantan di kawasan tersebut.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Ab. Hamid berkata, anggota PGA pada awalnya melihat seorang lelaki membawa sebuah beg di kawasan pengkalan haram itu.

Menurutnya, suspek bertindak melarikan diri dan meninggalkan beg itu selepas menyedari kehadiran anggota PGA.

“Pemeriksaan di dalam beg berkenaan menjumpai sebanyak 5 kg yang dianggarkan bernilai RM15,500.

“Siasatan lanjut mendapati, kesemua dadah tersebut dipercayai untuk dijual di pasaran tempatan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Nik Ros Azhan memberitahu, kesemua dadah itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – https://amiminerals.org/