Landskap politik negara telah berubah – Shamsul Anuar

bn

Shamsul Anuar (kiri) meminta BN supaya tidak bergantung kepada ahli atau penyokong tegar sahaja.- Foto Facebook Shamsul Anuar Nasarah

PETALING JAYA – Barisan Nasional (BN) kini tidak boleh hanya bergantung kepada ahli, sokongan kumpulan tegar atau penyokong tradisinya.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Shamsul Anuar Nasarah berkata, keadaan dan landskap politik negara telah berubah berbanding 50 tahun lepas.

“Situasi tidak sama sebagaimana ketika BN ditubuhkan pada 1 Januari 1974 atau di era Perikatan bertanding dalam pilihan raya pertama pada 27 Julai 1955 yang memenangi 51 kerusi daripada 52 kerusi yang dipertandingkan.

“Ketika itu Perikatan dan BN sangat kuat. Biar cabaran sudah berbeza, pimpinan BN kini kekal konsisten mempertahankan falsafah perjuangan parti ini.

“Kita konsisten memastikan perpaduan, kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara terpelihara,”katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas penegasan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan sempena Sambutan Jubli Emas BN Ke-50 kelmarin.

Ujar beliau, BN kekal teguh dengan falsafah perjuangannya biar sederas manapun arus perubahan politik yang melanda.

“Pada ketika arus deras inilah BN mesti mempunyai kebijaksanaan menyesuaikan diri tanpa menggadaikan prinsip dan falsafah perjuangannya.

“Peringatan Pengerusi BN semestinya difahami bahawa BN juga tidak boleh eksklusif dalam kalangan kelompok tertentu sahaja,”katanya.- https://amiminerals.org/