KUALA NERANG – Pintu sempadan negara di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Kota Putra, Durian Burung dekat sini turut sesak dengan kenderaan yang mahu ke Thailand.
Jumlah kenderaan di laluan bas dan kereta untuk ke Thailand dilaporkan meningkat.
Pintu sempadan di Durian Burung itu merupakan laluan alternatif ke Thailand di samping Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam.
Menurut jurucakap Jabatan Imigresen Negeri Kedah, peningkatan kenderaan berlaku secara mendadak pada sebelah pagi berikutan orang ramai mengambil peluang cuti perayaan Tahun Baharu Cina hari ini dengan membawa masuk kereta ke Thailand.
Katanya, aliran trafik dilaporkan sesak sehingga ke kaunter pemeriksaan Imigresen, namun laluan-laluan dan kaunter pemeriksaan lain berada dalam keadaan biasa.
Pelancong dari Johor, Hamzah Sanip, 39, berkata, dia mengetahui laluan itu daripada rakannya yang tinggal di Kedah kerana kebiasaanya hanya melalui Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam untuk ke Thailand.
“Memang sebelum ini saya tahu Bukit Kayu Hitam atau Padang Besar dan Wang Kelian di Perlis sahaja sempadan untuk keluar masuk ke Thailand tetapi selepas rakan maklumkan laluan Durian Burung ini saya ingin mencubanya.
“Saya tak tahu bagaimana hendak gambarkan sesak atau tidak kerana pertama kali guna laluan ini tapi berbanding Bukit Kayu Hitam rasanya aliran kenderaan di sini lebih lancar dan cepat walaupun banyak juga kereta,” katanya di sini hari ini.
Penduduk tempatan, Faizal Abu Bakar, 45, berkata, peningkatan kenderaan sempena cuti umum di Kompleks ICQS Kota Putra berlaku sejak akhir-akhir ini berbanding dahulu yang tidak ramai menyedari kewujudannya.
Katanya, kesesakan turut berlaku pada cuti perayaan Hari Krismas penghujung Disember lalu setelah laluan itu dikongsi pengguna media sosial.
“Pintu masuk ini juga boleh ke Hatyai yang memang sering menjadi tumpuan rakyat Malaysia kalau bercuti, tetapi jika nak ke Pattani atau Yala memang sesuai lalu sini kerana lebih dekat berbanding dari Bukit Kayu Hitam,” katanya.
Sementara itu, aliran trafik di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam dilaporkan sesak seperti kebiasaan cuti-cuti perayaan sebelum ini yang bermula seawal 5 pagi.
Kesesakan itu bagaimanapun semakin reda menjelang tengah hari. – https://amiminerals.org/