KOTA TINGGI – Seorang penunggang motosikal maut selepas melanggar seekor lembu di Kilometer 3 Jalan Lok Heng-Mawai malam tadi.
Mohd. Azli Elias, 47, maut dalam kejadian pada pukul 7.30 malam itu akibat kecederaan parah
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.
“Difahamkan mangsa dari tempat kerja di Kim Loong Mawai hendak balik ke Felda Aping Barat. Ketika sampai di lokasi kejadian mangsa dipercayai telah melanggar lembu dan disahkan maut di tempat kemalangan.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk uruskan bedah siasat,” katanya dalam kenyataan di sini.
Dalam pada itu, Yusof memaklumkan tidak jauh dari lokasi kejadian turut berlaku kemalangan membabitkan lembu dan penunggang motosikal yang lain, namun mangsa hanya alami cedera.
Tragedi akibat lembu berkeliaran di jalan raya terus menerus meragut nyawa apabila baru-baru ini media melaporkan seorang penghantar makanan maut selepas motosikal ditungganginya merempuh haiwan itu di Kilometer 5, Jalan Lok Heng–Mawai, 15 Mei lalu. – https://amiminerals.org/