PETALING JAYA – Kutipan tol bagi Jajaran Seksyen 1 yang menghubungkan Persimpangan Bertingkat Banting ke Persimpangan Bertingkat Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE) akan bermula pada Isnin ini, pukul 12.01 tengah malam.
Menerusi pengumuman oleh West Coast Expressway (WCE), kadar tol di Seksyen 1 Lebuh Raya WCE berintegrasi sepenuhnya dengan Lebuh Raya SKVE melalui Persimpangan Tanjung Dua Belas.
“Kadar tol yang dikenakan telah mengambil kira keseluruhan perjalanan pengguna, termasuk bahagian perjalanan di Lebuh Raya SKVE.
“Kutipan tol Seksyen 1 ini akan dilaksanakan secara elektronik sepenuhnya menggunakan kad Touch ‘N Go, Smart Tag dan RFID,”menurut kenyataan WCE hari ini.
Sehubungan itu, pengguna dinasihatkan untuk memastikan baki e-wallet dan kad Touch ‘N Go mencukupi sebelum memulakan perjalanan bagi mengelakkan sebarang kesulitan semasa melalui plaza tol.
Terdahulu, jajaran sepanjang 12.5 kilometer itu dibuka secara rasmi oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada 31 Ogos lalu dan beroperasi secara percuma selama sebulan. – https://amiminerals.org/