Kuskop sasar dana PENN diagih sepenuhnya menjelang tahun 2025

RAMANAN

Ramanan hadir pada Majlis Taklimat dan Penyerahan pembiayaan dana khas PENN.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) menyasarkan pengagihan dana bagi program Prosperity Empowerment and A New Normal for Indian Women (PENN) di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dapat diselesaikan sepenuhnya menjelang awal tahun hadapan.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R. Ramanan berkata, sejak diperkenal pada 13 April lalu, sebanyak RM22.715 juta sudah disalurkan kepada 2,644 wanita India yang telah menjadi Sahabat Usahawan AIM.

“Sasaran kita setakat apa yang dilihat sekarang, sejak program ini bermula 13 April sehingga Oktober jadi sudah enam bulan, memang agihan ikut sasaran. Tak laju, tak perlahan.

“Tapi, mengikut sasaran kita hujung tahun ini ataupun permulaan 2025 kita akan habis guna dana ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Taklimat dan Penyerahan pembiayaan dana khas PENN di sini hari ini.

Justeru berliau berkata, pihaknya menyeru lebih ramai wanita India, khususnya golongan muda, dan lepasan universiti yang masih belum mendapat pekerjaan, supaya menceburi bidang keusahawanan.

“Cubalah berjinak-jinak untuk menjadi seorang usahawan. Ini kerana pihak Kuskop dan agensi-agensi menyediakan banyak peluang, latihan dan skim pembiayaan untuk mereka yang berminat.

“Seperti AIM, anda boleh membuat pembiayaan dengan syarat yang sangat mudah. Tidak perlu rekod perniagaan atau rekod kewangan. Tiada penjamin, tidak perlu premis niaga dan dokumen-dokumen yang sukaruntuk dipenuhi,” katanya.

Sementara itu, Ramanan berkata, kejayaan AIM juga dapat dilihat dalam mengeluarkan lebih 4 juta isi rumah daripada belenggu kemiskinan dan berjaya mengekalkan peratus Non-Performing Loan (NPL) sebanyak 0.09 peratus pada tahun lalu.

“Trend peningkatan permohonan dan kelulusan dari semasa ke semasa juga begitu menggalakkan dengan negeri Perak mencatatkan penerima yang paling banyak iaitu seramai 818 penerima.

“Selain itu, di Selangor mencatatkan seramai 535 penerima dan Pahang seramai 292 penerima,” ujarnya. – https://amiminerals.org/