Kucing jalanan \’ghaib\’ di UM?

PHOTO 2024 12 27 18 06 58

KAWASAN sekitar di dalam kampus Universiti Malaya lengang tanpa kehadiran kucing jalanan.

PETALING JAYA – Tiada lagi ke­libat kucing jalanan berkeliaran di kawasan Universiti Malaya (UM) selepas insiden kematian lima ekor haiwan tersebut di kampus berkenaan baru-baru ini.

Tinjauan Kosmo! di sekitar kampus tersebut mendapati, suasana agak lengang tanpa kehadiran ‘si bulus’ yang sebelum ini dikatakan kerap berkeliaran.

Seorang pelajar yang ingin dikenali sebagai Nur berkata, populasi kucing di situ yang dahulunya berjumlah 50 ekor kini ‘hilang’ hampir separuh selepas kejadian menyayat hati tersebut.

“Selepas kejadian (kematian kucing) itu, saya sudah tidak nampak kucing-kucing berkeliaran di sini lagi. Sebelum ini di kawasan kolej kediaman haiwan itu dijaga dengan baik, diberi makanan, dimandikan, malah ada tempat khas disediakan untuk memberi mereka makan,” kata­nya ketika ditemui baru-baru ini.

Ujarnya, pihak kolej juga memberi peluang kepada pelajar untuk mengambil kucing tersebut sebagai haiwan peliharaan de­ngan syarat ia dijaga di rumah dan bukannya dalam asrama.

Seorang lagi pelajar, Ana memaklumkan, tiada kejadian ku­cing mati diserang atau dicederakan anjing dilapor sebelum ini.

“Memang ada anjing liar di sini, tetapi saya tidak pernah dengar pula kejadian anjing serang ku­cing. Anjing-anjing liar itu juga tidak agresif terhadap pelajar,” ujarnya.

Seorang lagi pelajar dikenali sebagai Mira mendakwa, pekerja pembersihan pernah menemui bangkai kucing dalam keadaan mencurigakan sebelum ini.

“Saya memang sukakan ku­cing, selalu beri makan dan terubat rindu pada kucing di rumah. Selepas kes (kematian kucing) ini, sukarelawan telah menyelamatkan haiwan tersebut. Sekarang tiada lagi kucing di sini,” katanya.

Isnin lalu, Kosmo! melapor­kan, beberapa ekor kucing ditemui mati dalam keadaan tragis di kawasan kampus UM. -https://amiminerals.org/