KLANG – Isu jalan berlubang di Pelabuhan Klang di sini yang tular mendapat respons segera daripada Kementerian Kerja Raya (KKR).
Ini selepas Ketua Setiausaha KKR, Datuk Seri Azman Ibrahim turun padang melihat sendiri lokasi jalan rosak di Junction 8 selepas Jambatan Kurau.
KKR menerusi hantaran di Facebook rasminya memaklumkan, lawatan tersebut dibuat Azman bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri kira-kira pukul 3 petang tadi.
“Antara masalah yang ada adalah jalan raya di Junction 8 rosak di bahagian pavemen dan slab konkrit serta air bertakung.
“Pihak kontraktor akan melaksanakan kerja pembaikan sementara menggunakan hot mix di kawasan pavemen dan kerja konkrit di kawasan Junction 8 seperti skop kontrak,”katanya.
Menerusi hantaran sama, Azman menggesa pihak berwajib agar melaksanakan kerja-kerja pembaikan di kawasan Junction 8 dengan kadar segera.
Sementara itu, Azmizam menzahirkan penghargaan kepada Azman atas respons terhadap aduan dibuatnya semalam.
Jelasnya, beliau dihubungi oleh Azman melalui panggilan telefon dan hadir ke tapak aduan bersama pegawai-pegawai JKR.
“Beliau (Azman) telah memberikan arahan kepada Ketua Pengarah JKR Datuk Ir. Roslan bin Ismail (tidak dapat hadir semasa lawatan tapak kerana mempunyai mesyuarat) dan semua pegawai JKR yang bertanggungjawab untuk menyelesaikan segera isu ini,”ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan kegagalan JKR menyelesaikan jalan berlubang dari Jambatan Selat menghala Bandar Suleiman menyebabkan takungan air.
Oleh itu Azmizam turut memberi tempoh selama seminggu kepada JKR untuk membaiki jalan tersebut atau berdepan demonstrasi yang akan dilaksanakan sebagai tanda protes terhadap jabatan tersebut selepas hampir setahun gagal menyelesaikan masalah. – https://amiminerals.org/.