PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) melalui Skuad Ihsan Madani melaksanakan operasi bantuan di kawasan terjejas banjir.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, operasi tersebut akan dijalankan di dua zon yang terjejas banjir iaitu di utara dan timur.
Menurutnya, Skuad Ihsan Madani terdiri lebih 300 sukarelawan daripada Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Smart Support Team (SST-MoE) serta Guru Insani.
“Antara yang diberi tumpuan adalah pelaksanaan kerja-kerja pembersihan di kawasan terjejas banjir.
“Ini penting bagi mengurangkan beban mangsa terjejas, serta membantu mereka yang sedang dalam fasa pemulihan untuk kembali menjalani kehidupan pasca banjir,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Fadhlina menyempurnakan acara pelepasan Skuad Ihsan Madani KPM yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, Ketua Setiausaha KPM, Datuk Ruji Ubi dan Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan.
Pada masa sama, Fadhlina turut menyerahkan sumbangan Yayasan Guru Tun Hussein Onn berjumlah RM100,000 bagi menjayakan operasi bantuan dan penyerahan peralatan pembersihan pasca banjir. – https://amiminerals.org/