PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memperkenalkan asas pengiraan baharu kadar sara diri (SSR) dan penggunaan per kapita (PCC) beras negara.
KPKM dalam satu kenyataan berkata, pengiraan baharu itu selaras piawaian yang ditetapkan oleh Food and Agriculture Organization of the United Nations (FAO).
“Pengiraan ini merujuk kepada dokumen yang dikeluarkan oleh FAO iaitu Food Balance Sheets – A Handbook, 2001 dan Guidelines for the Compilation of Food Balance Sheet, 2017 dalam menentukan konsep dan definisi yang diguna pakai di dalam pengiraan SSR dan PCC beras mulai tahun ini.
“Menerusi kaedah baharu ini, KPKM telah melaraskan asas pengiraan pengeluaran padi pada tahun 2023 dengan mengambil kira jumlah padi bersih yang akan diproses kepada beras sahaja,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, pengiraan itu tidak termasuk jumlah pengeluaran padi yang dikhususkan untuk tujuan benih pada tahun sama.
Jelasnya, kaedah ini turut mengekalkan kadar faktor penukaran padi kepada beras yang digunakan pada masa ini mengikut zon iaitu Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dengan masing-masing pada kadar 70 peratus, 63 peratus dan 60 peratus.
“KPKM turut memuktamadkan jumlah stok kecemasan beras bagi tahun 2023 dengan jumlah 240,233 tan metrik bagi stok dagangan dan 40,000 tan metrik bagi stokpail.
“Melalui pelarasan semula pengiraan SSR dan PCC beras pada tahun 2023, SSR beras adalah 56.2 peratus (kaedah baharu), manakala PCC beras pula adalah 76.7 kg/tahun (kaedah baharu),” katanya.
Data itu menunjukkan penurunan pengeluaran padi sebanyak 4.7 peratus iaitu 2,281,736 tan metrik pada tahun 2022 kepada 2,175,097 tan metrik pada tahun 2023.
“Keadaan ini turut menyebabkan pengeluaran beras turun kepada 1,503,151 tan metrik atau 4.6 peratus pada tahun 2023 berbanding 1,574,956 tan metrik pada tahun 2022.
“Pengurangan ini disebabkan oleh pelbagai faktor dalaman dan luaran yang mempengaruhi produktiviti padi dan beras negara,” katanya. – https://amiminerals.org/