KPKM diarah segera pulihkan bekalan beras putih tempatan

WhatsApp Image 2025 01 23 at 20.13.50

Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan diarahkan untuk menyegerakan usaha pemulihan bekalan beras putih tempatan di pasaran.

Perkara itu disampaikan oleh Setiausaha Akhbar Kanan, Tunku Nashrul Abaidah bagi pihak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, Perdana Menteri mengambil maklum berkenaan isu beras putih tempatan yang terus menjadi perhatian di negara ketika ini.

“Insya-Allah pemulihan bekalan ini sedang dilaksanakan secara berfasa.

“Perdana Menteri juga mengarahkan Kementerian untuk memaklumkan perkembangan berkenaan pemulihan bekalan ini secara berkala kepada rakyat,”katanya menerusi siaran langsung Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri di Facebook, hari ini.

Terdahulu, tinjauan pihak media di beberapa buah pasar raya mendapati sebanyak 24 juta kampit Beras Putih Tempatan (BPT) bersubsidi pada harga RM26 bagi pek 10 kilogram (kg) yang dijanjikan kerajaan tiada dalam pasaran di seluruh Semenanjung.

Hal tersebut mendatangkan persoalan dalam kalangan rakyat lebih-lebih lagi beras putih tempatan tersebut diperlukan bagi persediaan untuk menyambut bulan Ramadan. – https://amiminerals.org/