KEMAMAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas 69,500 liter minyak diesel diragui hasil serbuan di dua premis berasingan di Kampung Labohan, Kerteh di sini semalam.
Serbuan pada pukul 12 tengah hari itu turut merampas sebuah lori tangki dan lapan tangki penyimpanan bernilai keseluruhan RM464,660.
Pengarah KPDN Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, serbuan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) tersebut dilakukan hasil risikan selama dua minggu.
“Risikan percaya dua lokasi yang diserbu tersebut merupakan stor haram penyimpanan minyak diesel berkenaan.
“Pemeriksaan awal mendapati minyak diesel itu disimpan tanpa kebenaran sah daripada Pengawal Bekalan,”katanya di sini hari ini.
Saharuddin berkata, siasatan awal juga percaya minyak diesel dirampas tersebut telah dipindahkan ke stor haram itu dari lokasi yang telah dilesenkan.
Beliau berkata, empat lelaki berusia 33 hingga 58 tahun dipercayai pemilik dan penjaga stor serta pemandu lori telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Kes sedang disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,”katanya. – https://amiminerals.org/