KPDN perluas program edar barang kawalan, subsidi di Sabah

WhatsApp Image 2024 07 29 at 9.09.52 PM

KPDN perluas program edar barang kawalan, subsidi di Sabah

KINABATANGAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperluaskan Program Pengedaran Barang Perlu, Gas Cecair Petroleum (LPG) dan Community Drumming di Sabah.

Program berkenaan diperluaskan ke dua zon iaitu Zon Abai di Kinabatangan dan Zon Gana meliputi Kota Marudu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, pemilihan Kampung Abai sebagai zon baharu untuk pelaksanaan program terbabit adalah untuk memastikan seramai 350 penduduk di kawasan berkenaan mempunyai akses kepada barang perlu, barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi dengan harga sama seperti di bandar Sandakan.

“Antara barang-barang yang terlibat adalah beras, gula putih bertapis, tepung gandum, minyak masak, LPG, petrol RON95 dan diesel ke kawasan pedalaman dan luar bandar yang tersenarai.

“Sebelum peluasan program ini, penduduk Kampung Abai memperoleh barang keperluan seperti minyak masak peket dan gula putih bertapis pada harga RM 3.50 berbanding harga kawalan RM2.50 dan RM2.85.

“LPG pula penduduk membeli dengan kadar RM45 setiap tong, berbanding harga kawalan RM26.60 setong.

“Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2024 juga telah menyediakan peruntukan berjumlah RM225 juta untuk pelaksanaan program ini yang melibatkan enam negeri iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah.

“Ini melibatkan pemberian subsidi Kerajaan melalui pelantikan syarikat transporter yang memberikan perkhidmatan mengangkut barang-barang perlu dan barang kawalan yang terpilih daripada pusat/sumber bekalan (point of source) kepada pusat penjualan (point of sale),” katanya sempena Majlis Sambutan Jubli Emas Ke-58 Tahun Sekolah Kebangsaan Abai, Kinabatangan hari ini. – Iteenews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *