PETALING JAYA – Khairy Jamaluddin Abu Bakar menzahirkan ucapan terima kasih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kemuliaan yang ditunjukkan terhadap bapa mentuanya, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO berkata, beliau turut menghargai penghormatan yang diberikan Anwar dan Kerajaan Perpaduan kepada ‘Pak Lah’ dengan mengizinkan satu istiadat pengebumian yang teristimewa.
“Terima kasih ‘sir’ (tuan) atas beberapa nukilan ikhlas yang dikarya bagi mengingati sahabat lama. Kami sekeluarga turut tersentuh dengan kemuliaan kata-kata disampaikan Anwar terhadap ayahanda ‘Pak Lah’ (Abdullah).
“Penghargaan juga di atas kebenaran untuk jenazah (Allahyarham Tun Abdullah) disemadikan di Makam Pahlawan bersama negarawan-negarawan lain,”katanya.
Beliau berkata demikian menerusi komen yang ditinggalkan pada satu hantaran klip video yang dimuat naik Anwar di media sosial, hari ini.
Klip video berdurasi 56 saat itu memaparkan kenangan Anwar bersama Allahyarham Tun Abdullah yang juga Perdana Menteri ke-5 ketika bersama-sama dalam pentadbiran kerajaan terdahulu.
Sehubungan itu, Khairy Jamaluddin berkata, beliau amat terhutang budi dan berterima kasih atas penghormatan yang diberikan terhadap bapa mentuanya.
“‘I shall forever be grateful for this, sir’ (Saya akan sentiasa berterima kasih atas perkara ini, tuan),” ujarnya.
Terdahulu, Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataannya memaklumkan jenazah Tun Abdullah akan dikebumikan mengikut Istiadat Pengebumian Negara.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, perkara itu diputuskan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim agar jenazah Tun Abdullah disemadikan di Makam Pahlawan sebagai penghormatan tertinggi negara.
Orang ramai dibenarkan memberikan penghormatan terakhir di Masjid Negara bermula pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari.
Jenazah Tun Abdullah selamat disemadikan di Makam Pahlawan pada pukul 2.30 petang.
Tun Abdullah, 85, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara kira-kira pukul 7.10 malam semalam selepas mengalami masalah pernafasan. – https://amiminerals.org/