Kilang proses laksa, kuetiau guna logo halal tidah sah

kilang logo halal logo halal tidak sah

Penguat kuasa KPDN memeriksa bungkusan laksa dan kuetiau yang menggunakan logo halal tidak sah di sebuah kilang di Sungai Siput, Kuala Kangsar semalam. – Foto IHSAN KPDN

KUALA KANGSAR – Sebuah kilang pemprosesan makanan di Sungai Siput di sini dikesan menggunakan logo halal tidak sah apabila ia diserbu dalam satu operasi bersepadu pihak berkuasa semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, operasi berkenaan disertai oleh anggota penguat kuasa KPDN, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Kangsar, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK).

Menurut beliau, melalui pemeriksaan yang dijalankan, didapati kilang diperiksa tersebut mengeluarkan produk makanan seperti laksa dan kuetiau.

“Pemeriksaan lanjut ke atas produk akhir di kilang tersebut mendapati terdapat logo halal pada bungkusan produk laksa dan kuetiau keluaran kilang tersebut.

“Dipercayai, produk laksa dan kuetiau ini adalah untuk edaran jualan sekitar Perak dan Pulau Pinang,”katanya di sini hari ini.

Menurut Kamalludin, hasil pemeriksaan lanjut mendapati, pemilik perniagaan telah gagal mengemukakan sijil pengesahan halal Malaysia yang sah.

Sehubungan itu, beliau berkata, satu tindakan kes telah diambil di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 kerana disyaki telah menggunakan logo halal tanpa kebenaran.

“Sebanyak 3,020 unit produk laksa dan kuetiau yang siap dibungkus dan tiga gulungan bekas plastik tertera logo halal tidak sah digunakan untuk tujuan perdagangan dan dokumen berkaitan telah disita.

“Nilai keseluruhan barang rampasan adalah dianggarkan berjumlah RM5,828.50. Kes disiasat di bawah Per.8(a), Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 iaitu kesalahan memperaku mana-mana makanan itu adalah halal,”katanya.

Kamalludin berkata, jika disabitkan kesalahan bagi pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM200,00 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM500,000.

“Manakala jika pesalah bukan pertubuhan perbadanan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,”katanya.

Selain tindakan kes di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, beliau berkata, operasi bersepadu itu juga telah berjaya mengesan dua kesalahan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 melibatkan kompaun sebanyak RM1,000. – https://amiminerals.org/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *