Kilang minyak sawit disaran guna teknologi rawatan efluen

WhatsApp Image 2024 09 04 at 5.00.59 PM

Johari melihat mesin POME tanpa kolam rawatan selepas melancarkan teknologi RT Eco di Kuala Langat hari ini. Foto oleh Saddam Yusoff/ KOSMO!

KUALA LANGAT – Pemain industri minyak sawit terutama berskala kecil disaran menggunakan teknologi rawatan tapisan efluen kilang yang lebih teratur di premis mereka.

Langkah itu dianggap penting bagi memastikan sisa cecair atau efluen kilang minyak sawit (POME) tidak mencemarkan alam sekitar dan sungai.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, teknologi dalam rawatan efluen itu menjadi fokus utama dunia bagi mengurangkan kesan negatif pengeluaran sawit.

Bagaimanapun, katanya, pengilang kecil tidak berupaya menanggung kos tinggi penggunaan teknologi itu yang turut memerlukan kolam takungan berskala besar.

“Saya sudah mengarahkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengkaji teknologi itu terutama ketahanan dan keberkesanannya sebelum ia diperluaskan ke kilang sawit lain,”katanya selepas melancarkan modul sistem hibrid RT ECO Technology di Seri Morib Palm Oil, Banting di sini, hari ini.

Sistem dibangunkan syarikat Meru Jaya POME Solutions itu meliputi penggunaan teknik elektrokimia bagi mengoksidakan komponen organik dalam POME dan mengubahnya menjadi sebatian yang lebih selamat.

Menurut Johari, teknologi rawatan dari Singapura itu dilihat bersesuaian dalam memenuhi permintaan pasaran dan mengukuhkan kemampanan pengeluaran sawit negara.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan, Malaysia perlu menjaga reputasi sebagai pengeluar sawit kedua terbesar dunia dan menjadi antara tiga komoditi utama negara ini.

“Pembeli atau pengimport hanya mahu tahu mengenai kemampanan dan kelestarian sawit kita ketika ini. Justeru, kerajaan amat komited memfokuskan pengeluaran kelapa sawit supaya terus kekal positif dan menjadi antara penyunbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),”katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *