PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim amemaklumkan bahawa beliau telah menerima panggilan telefon daripada rakan sejawatnya dari Pakistan, Perdana Menteri Shehbaz Sharif, yang menyatakan penangguhan lawatan rasmi beliau ke Malaysia seperti dijadualkan Jumaat ini.
Menurut Anwar dalam satu catatan di Facebook rasmi beliau, penangguhan itu dibuat susulan ketegangan yang timbul selepas insiden serangan di Kashmir baru-baru ini.
“Saya memahami situasi rumit yang sedang dihadapi Pakistan dan mendoakan agar keadaan segera reda serta tidak terus meruncing.
“Saya mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan dan menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan untuk siasatan bebas dan telus bagi mengenal pasti dalang sebenar serangan itu,” katanya.
Dalam perbualan itu, beliau juga menyatakan kesediaan Malaysia untuk memainkan peranan ke arah meredakan ketegangan jika diperlukan, sambil menekankan bahawa hubungan baik Malaysia dengan Pakistan dan India adalah aset penting demi keamanan serta kestabilan serantau.
“PM Shehbaz turut menyatakan penghargaan terhadap hubungan erat antara kedua-dua negara serta mengutarakan hasrat untuk mempercepatkan pemeteraian memorandum persefahaman yang sedang dirunding. Saya tegaskan komitmen Malaysia untuk menyegerakan urusan tersebut.
“Insya-Allah, apabila keadaan mengizinkan, kita akan menyambut PM Shehbaz di Malaysia dalam suasana aman dan tenteram,” katanya. – https://amiminerals.org/