Kes pembunuhan Amoy disebut semula 10 Februari 2025

WhatsApp Image 2024 12 24 at 5.12.40 PM

Tertuduh Zakwan Mokhtar diiringi pegawai polis tiba di Kompleks Mahkamah Kuching, pagi tadi.

KUCHING – Mahkamah Majistret di sini, hari ini menetapkan sebutan semula kes ke atas seorang pemandu e-hailing yang membunuh Nurul Asikin Lan atau Amoy pada 10 Februari tahun depan.

Keputusan itu dibuat Majistret Sharifah Fatimah Azura Wan Ali selepas Timbalan Pendakwa Raya Jean Siow Chung Hweio memohon satu tarikh baharu sementara menunggu laporan asid deoksiribonukleik (DNA) dan bedah siasat ke atas mayat Nurul Asikin, 28, yang dijumpai reput di kawasan longkang Jalan Setia Raja, Tabuan, di sini pada 15 Disember lalu.

Terdahulu, tertuduh Zakwan Mokhtar, 23, yang tidak diwakili peguam mengangguk faham sebaik pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Zakwan didakwa melakukan pembunuhan terhadap Nurul Asikin di kawasan longkang Jalan Setia Raja, Tabuan Jaya pada 14 Disember 2024, sekitar pukul 9.10 malam.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Sementara itu, Mahkamah Majistret turut menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan ke atas Zakwan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu berhubung kehilangan Nurul Asikin. – https://amiminerals.org/