KUALA SELANGOR – Kertas cadangan berhubung keperluan pengharaman penjualan rokok elektronik (vape) di Selangor akan dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) masa terdekat.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau telah mengarahkan kepada Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin bagi penyediaan kertas itu sebelum membuat sebarang keputusan mengenainya.
“(Perkembangan pengharaman vape) ia akan dibentangkan dalam MMKN.
Saya telah arah buat kertas dan kita mempertimbangkan keputusan.
“Kerajaan negeri harus melihat menyeluruh aspek-aspek ini supaya dapat beri jaminan kepada kesihatan generasi akan datang dan pada hari ini,”katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan penyerahan projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) Pakej A dan C, di sini hari ini.
Kosmo! pada 18 April lalu melaporkan kerajaan negeri akan meneliti cadangan pengharaman vape yang menjurus kepada penyalahgunaan dadah sintetik termasuk ‘fentanyl’ atau dadah zombie.
Sebelum itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dipetik berkata, kerajaan negeri boleh mengambil tindakan mengharamkan penjualan vape kerana lesen perniagaan itu berada di bawah pihak berkuasa tempatan.
Ini kerana ancaman dadah sintetik semakin membimbangkan apabila terdapat pelajar sekolah seawal usia 13 tahun dikesan menggunakan vape yang dicampur dadah.
Setakat ini, hanya Johor dan Terengganu telah mengharamkan penggunaan vape ini. – https://amiminerals.org/