Kerajaan terus pastikan media sosial selamat buat semua – Fahmi

Fahmi 2

Fahmi.

PUTRAJAYA – Kerajaan akan terus memastikan platform media sosial tegas dalam menangani jenayah dalam talian demi penggunaan internet yang lebih selamat untuk semua terutamanya untuk kanak-kanak dan keluarga.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pada pertemuan yang diadakan bersama pihak Meta semalam, beliau turut menegur Meta kerana masih gagal menangani jenayah pedofilia dan pengantunan kanak-kanak (sexual grooming), khususnya di platform Facebook.

“Meta perlu jauh lebih proaktif dalam membanteras kumpulan-kumpulan di akaun media sosial Meta yang menjurus kepada aktiviti jenayah seksual tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pertemuan berkenaan turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Fauzi Md Isa, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din, Pengarah Dasar Awam Meta Asia Tenggara, Rafael Frankel serta pasukan Meta.

Berhubung pertemuan itu, Fahmi berkata, ia berkisar kepada kesiapsiagaan semua pihak bagi penguatkuasaan pelesenan platform media sosial dan sistem pemesejan Internet bermula 1 Januari 2025.

Jelasnya, pihak Meta menyuarakan pandangan mengenai pematuhan yang perlu dipenuhi untuk melaksanakan syarat-syarat ditetapkan, termasuk Kod Tatalaku dan Akta Keselamatan Dalam Talian belum mereka teliti sepenuhnya.

“Saya telah mengingatkan Meta bahawa niat kerajaan mengenakan lesen ini adalah untuk menangani isu jenayah yang berhijrah ke media sosial, termasuk scam, judi dalam talian, buli siber, dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

“Namun saya beri komitmen untuk mendengar pandangan semua platform media sosial, memandangkan lesen yang bakal dikenakan adalah lesen kelas (class license),” ujarnya.

Tambah Fahmi, lesen ini dikenakan kepada semua platform yang memenuhi syarat-syarat, termasuk yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna di Malaysia.

Fahmi berkata, pihak Meta telah bersetuju untuk menyediakan maklum balas kepada draf Kod Tatalaku yang telah diterbitkan pada 22 Oktober lalu dan akan mengadakan perbincangan lanjut dengan MCMC pada awal minggu hadapan untuk meneliti beberapa aspek dengan lebih terperinci.

“Saya terima baik kesediaan pihak Meta untuk terus bekerjasama dalam isu pelesenan ini,” katanya. – https://amiminerals.org/