Kerajaan teliti isu tadbir urus GLC, GLIC

fahmi fadzil

Fahmi

PUTRAJAYA – Kerajaan meneliti rapat isu urus tadbir dan tatakelola membabitkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat berkaitan pelaburan kerajaan (GLIC) di negara ini.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, beliau mengesahkan tiada perbincangan khusus mengenai perkara itu pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Bagaimanapun, beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, apa yang menjadi keutamaan kepada kerajaan ketika ini adalah memastikan aspek tatakelola dan tadbir urus GLC dan GLIC dikendalikan dengan baik.

“Setelah kita pinda Akta Audit 1957 baru-baru ini, ia membolehkan Ketua Audit Negara melakukan audit terhadap mana-mana entiti Yang menerima dana awam.

“Kita percaya aspek-aspek pengurusan dan juga tatakelola serta tadbir urus bagi GLC dan GLIC ini akan bertambah baik,”katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi sebelum ini dilapor berkata, Jabatan Audit Negara (JAN) akan melakukan pengauditan terhadap 2,000 GLC bermula tahun depan.

Ia susulan pindaan Akta Audit 1957 pad Julai lalu membenarkan Ketua Audit Negara memeriksa, menyiasat dan mengaudit mana-mana badan lain termasuk syarikat didaftarkan mengikut Akta Syarikat 2016 (Akta 777) yang menerima jaminan kewangan Kerajaan Persekutuan atau negara. – https://amiminerals.org/