Kerajaan Perpaduan boleh menang PRU kalau setia – Ahmad Zahid

Ahmad Zahid PRU

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hadir ke Konvensyen BN Negeri Sembilan 2024, hari ini. Foto oleh MOHD SHAHJEHAN MAAMIN

SEREMBAN – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yakin Kerajaan Perpaduan boleh memenangi pilihan raya umum (PRU) akan datang sekiranya aspek kesetiaan kepada parti diberikan keutamaan.

Beliau menegaskan, BN akan terus memberikan komitmen untuk bersama Kerajaan Perpaduan dan mewujudkan kerajaan yang stabil sehingga PRU ke-16.

Katanya, pandangan dan pendapat kepemimpinan BN termasuk barisan menteri daripada parti itu perlu diberi perhatian selain tiada usaha untuk membawa ahli dan pemimpin BN ‘menyeberang’ ke parti lain.

“Saya ingin menyatakan bahawa kerjasama UMNO dan BN dengan Kerajaan Perpaduan adalah sehingga PRU-16. Oleh yang demikian bagi menyantuni rakyat dan mewujudkan kerajaan yang stabil, sila dengar pendapat-pendapat daripada menteri-menteri yang mewakili BN.

“Kesetiaan adalah perkara utama dalam kepemimpinan UMNO, menyantuni rakyat dan kekal setia dalam parti adalah prinsip utama kita berparti,”katanya sewaktu berucap pada Konvensyen BN Negeri Sembilan 2024, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam yang yakin Kerajaan Perpaduan yang diterajui beliau mempunyai kelebihan untuk menang jika PRU diadakan dalam tempoh terdekat. – https://amiminerals.org/