Keputusan TIMSS 2023 dan Reformasi Pendidikan Negara

KPM

Azman (tengah) pada sesi sidang akhbar di Kementerian Pendidikan, Putrajaya semalam.

PUTRAJAYA – Keputusan kajian penandaarasan antarabangsa Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) 2023 disifatkan sebagai pemangkin kepada Kementerian Pendidikan (KPM) dalam melaksanakan reformasi pendidikan negara.

Dalam konteks ini, KPM akan melaksanakan beberapa langkah bersesuaian termasuk merancang dan memantau intervensi lebih berstruktur serta sistematik melalui Jawatankuasa Perancangan Strategik Pencapaian Penandaarasan Antarabangsa (JPSPPA).

Keadaan itu berikutan purata skor matematik murid Malaysia dalam TIMSS 2023 yang mencatatkan 411 mata, iaitu menurun berbanding TIMSS 2019 (461) dengan perbezaan sebanyak 50 mata.

Bagaimanapun, menurut Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Azman Adnan, purata skor individu murid Malaysia dengan pencapaian tertinggi ialah 789 mata, iaitu yang tertinggi pernah dicapai.

“Selain itu, seramai 126 murid memperoleh aras penandaarasan antarabangsa tertinggi bagi matematik dengan purata skor 625 mata ke atas.

“Purata skor murid Malaysia dalam sains TIMSS 2023 ialah 426 mata iaitu menurun berbanding TIMSS 2019 (465) dengan perbezaan sebanyak 39 mata,” katanya pada sidang akhbar khas di Kementerian Pendidikan, di sini.

Katanya, seperti Matematik, purata skor individu murid Malaysia dengan pencapaian tertinggi Sains ialah 766 mata, iaitu tertinggi pernah dicapai.

“Selain itu, seramai 104 murid memperolehi penandaarasan tertinggi dengan purata skor 625 mata ke atas,” jelasnya.

Susulan itu, jelas beliau, peratus pencapaian Matematik dan Sains TIMSS 2023 memberi gambaran murid kurang pengetahuan serta konsep asas mata pelajaran itu sejak daripada sekolah rendah sehingga menengah.

“Selain itu, berdasarkan dapatan soal selidik, guru menyatakan bahawa 40.8 peratus murid tiada pengetahuan atau kemahiran asas dalam Matematik, manakala 26.5 peratus dalam Sains,” jelasnya.

“Kelemahan penguasaan murid dalam pengetahuan, konsep serta kemahiran asas Matematik dan Sains menjadi semakin ketara apabila berlaku penutupan sekolah sewaktu pandemik Covid-19,” katanya.

Pada waktu itu, kohort murid tersebut berada di tahun lima (pada tahun 2020) serta di tahun enam (2021).

Dalam pada itu, katanya, antara cabaran dihadapi dalam TIMSS 2023 ialah peralihan kepada pentaksiran berasaskan komputer sepenuhnya.

Majoriti murid mempunyai efikasi kendiri digital yang sederhana dan rendah.

“Hal ini boleh dikaitkan dengan ketidaklaziman murid menggunakan komputer dalam menjawab soalan yang menyebabkan murid kekok untuk mengendalikan peralatan dan aplikasi ujian TIMSS 2023.

Antara cabaran lain termasuklah murid dilaporkan tidak mempunyai keyakinan mempelajari Matematik dan Sains yang mana 70 peratus tidak yakin dalam Matematik, manakala 49 peratus tidak yakin pada subjek Sains.

Dalam hal ini, katanya, KPM akan melaksanakan program intervensi secara bersasar kepada murid tahap dua yang tidak menguasai konsep asas Matematik dan Sains sebelum mereka meneruskan pelajaran pada peringkat menengah.

“Pemerkasaan peranan Ketua Panitia dapat memastikan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam kalangan guru adalah menarik dan berkesan.

“Guru dalam perkhidmatan akan diberikan latihan untuk meningkatkan profesionalisme keguruan mereka secara teori dan hands-on atau pembelajaran melalui pengalaman,” katanya.

Pada masa sama, langkah itu turut melibatkan pengukuhan latihan pedagogi guru dan penataran kerangka pentaksiran dan ‘released item’ selain mengadakan sesi libat urus dan Persidangan Meja Bulat Pencapaian Malaysia dalam TIMSS.

Untuk rekod, kajian TIMSS 2023 Gred Lapan melibatkan sejumlah 44 buah negara yang mana pelaksanaannya di Malaysia melibatkan seramai 8,780 murid tingkatan dua dari 180 sekolah seluruh negara. – https://amiminerals.org/