PUTRAJAYA – Nasib Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad berhubung rayuan pendakwaan terhadap pembebasan mereka atas tiga pertuduhan rasuah RM2.8 juta berkaitan pelaburan Felcra Bhd diketahui di Mahkamah Rayuan, esok.
Keputusan sama ada mereka kekal dibebaskan atau diperintah membela diri terhadap tiga pertuduhan itu akan ditentukan panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersama Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Noorin Badaruddin.
Sebelum ini panel tiga hakim itu telah menetapkan esok bagi keputusan selepas selesai meneliti hujahan bertulis dan hujahan lisan daripada kedua-dua belah pihak.
Semasa prosiding pendakwaan selaku perayu diwakili Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Maziah Mohaide manakala peguam M.Athimulan dan Datuk Seri K.Kumaraendran d masing-masing mewakili Bung dan Zizie selaku responden.
Jika panel membenarkan rayuan pihak pendakwaan, Bung Moktar dan Zizie Izette perlu membela diri di Mahkamah Sesyen. Bagaimanapun, jika dapatan mahkamah adalah sebaliknya, pasangan suami isteri itu kekal dibebaskan daripada tiga tuduhan tersebut.
Pada 7 September tahun lalu, Ahli Parlimen Kinabatangan itu dan isterinya dibebaskan setelah Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan semakan mereka terhadap keputusan Mahkamah Sesyen pada 2 September 2022 yang memerintahkan pasangan tersebut membela diri.
Pihak pendakwaan kemudian memfailkan rayuan pada 18 September tahun yang sama.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua Bung Moktar, 65, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra, didakwa pada 3 Mei 2019 menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan agensi berkenaan supaya melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Beliau didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette, 47, di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang pada 12 Jun 2015.
Pertuduhan ketiga Bung Moktar didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah Norhaili Ahmad Mokhtar atas nama Zizie Izette untuk sebab dan tempat sama pada 19 Jun 2015.
Dalam pada itu Zizie Izette turut didakwa bersubahat dengan beliau melakukan perbuatan itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.
Pendakwaan terhadap Bung Moktar dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sementara Zizie Izette didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) yang membawa hukuman yang sama.
Sebelum ini, pihak pendakwaan menyenaraikan tujuh alasan dalam rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan pasangan suami isteri itu selaku responden.
Pendakwaan berkata Mahkamah Tinggi terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta dalam menjalankan bidang kuasa semakan apabila membebaskan pasangan terbabit, selepas Mahkamah Sesyen memberi penilaian maksimum terhadap keterangan ketika kes pendakwaan. – https://amiminerals.org/