KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak termasuk Meta Platforms Inc (Meta) untuk melanjutkan tarikh akhir pendaftaran pelesenan media sosial.
Menterinya, Fahmi Fadzil, jika kerajaan melayan permintaan Meta yang juga pemilik media sosial seperti Facebook, Instagram dan WhatsApp, ia seolah-olah memberi muka kepada pihak “scammer”dan kumpulan pedofilia.
Ini kerana katanya, kumpulan terbabit sedang berleluasa di media sosial dan mempunyai ribuan pengikut serta ‘bertapak’ di platform berkenaan bertahun-tahun lamanya.
“Saya ada baca pihak Meta meminta masa yang lebih (lanjut perlesenan media sosial). Tapi sejujurnya kita tak boleh bagi lebih masa kepada scammer dan kumpulan pedofilia yang sekarang sedang berleluasa.
“Ada aduan kita terima dari orang awam tentang kewujudan kumpulan pedofilia di group Facebook, ada yang beratus orang (pengikut di Facebook) ada yang beribu orang dan telah beroperasi bertahun-tahun lamanya.
“Saya tak faham kenapa Meta nak mempertahankan kumpulan scammer dan kumpulan pedofilia,”katanya ketika ditemui selepas Majlis Rumah Terbuka Deepavali Madani 2024 di sini hari ini. – https://amiminerals.org/