PETALING JAYA – Pemandu di bawah pengaruh bahan memabukkan atau mengkhayalkan sehingga membunuh atau mencederakan orang lain perlu dikenakan hukuman paling berat.
Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, hukuman paling berat hendaklah dilaksanakan bagi memberi pengajaran dan peringatan.
“Jika tidak, geng dadah dan puak peminum ‘todi’ dan arak akan menjadikan bahan-bahan haram itu sebagai kelonggaran untuk mereka meragut nyawa atau mencederakan orang lain.
“Sejak dahulu isu ini telah ditimbulkan, kita berharap Kerajaan Madani yang selalu membicarakan tentang peradaban dan ketamadunan dapat berbuat sesuatu yang tepat dalam perkara ini,”katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Semalam, Kosmo! melaporkan niat baik seorang penghantar makanan membantu mangsa kemalangan bertukar tragedi apabila dia maut dirempuh pemandu kereta mewah jenis BMW disyaki mabuk.
Dalam kejadian di Jalan Kota Tinggi-Johor Bahru berhampiran stesen minyak di Taman Desa Jaya, kira-kira pukul 2 pagi itu, mangsa, Mohd. Taufik Ariff Sariff, 37, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada anggota badan.
Difahamkan, pemandu kereta BMW tersebut cuba melarikan diri selepas berlaku kemalangan, namun berjaya ditahan kira-kira 800 meter oleh orang awam yang mengejar kenderaannya. – https://amiminerals.org/