Kempen Year End Zakat seru tunai zakat sebelum 31 Disember ini

ppz maiwp logo

Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menganjurkan Kempen Year End Zakat 2024 (YEZ) bagi menggalakkan masyarakat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan agar segera tunaikan zakat sebelum atau pada 31 Disember 2024.

Kempen tahunan PPZ-MAIWP itu yang bermula pada 15 November lalu, menyediakan pelbagai perkhidmatan dan saluran bayaran bagi memudahkan orang ramai menunaikan ibadah zakat di samping pembayar boleh menikmati 100 peratus rebat cukai pendapatan bagi taksiran tahun 2024.

Bertemakan ‘Bahagia Memberi’, PPZ-MAIWP menerusi kenyataannya berkata, kempen YEZ pada tahun ini ingin mendidik masyarakat untuk saling memberi dan berkongsi rezeki bersama mereka yang memerlukan.

“Ia dilaksanakan melalui ibadah zakat di samping yakin dan percaya bahawa Allah menjanjikan ganjaran pahala berganda kepada mereka yang mengeluarkan harta ke jalan-Nya,”kata kenyataan itu.

Pelbagai pengisian menarik disediakan khas bagi kempen itu antaranya Karnival Year End Zakat x Pasar Saloma yang berlangsung selama empat hari bermula 28 November hingga 1 Disember 2024 dengan pelbagai pengisian menarik dan lebih 100 gerai jualan.

“Turut diadakan ialah Hari Bersama Pembayar dengan jamuan dan cenderamata istimewa pada setiap hari Jumaat serta sembilan hari terakhir bulan Disember selain Berkat Niaga iaitu perkhidmatan pengiraan zakat ke premis-premis perniagaan sepanjang kempen.

“10 kaunter PPZ-MAIWP juga akan beroperasi setiap hari sepanjang Disember termasuk cuti umum pukul 8.00 pagi 4.45 petang, manakala Jumaat dan 23 hingga 31 Disember pada 8.00 pagi hingga 9.00 malam,”jelas kenyataan sama.

Lebih istimewa, pembayar yang membuat bayaran zakat sepanjang kempen itu berpeluang memenangi lebih 1,500 hadiah menarik yang seperti Pakej Umrah, Baucar Percutian, Motor Skuter Elektrik dan banyak lagi.

Pemenang akan dipilih berdasarkan cabutan serta tertakluk kepada terma dan syarat.

“PPZ-MAIWP mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada MC+ kerana menjadi penaja utama bagi Kempen YEZ dan karnival pada tahun ini.

“Turut menjadi penaja Kempen YEZ tahun ini ialah Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Affin Bank Berhad, Kedai Emas Merchant9, dan Fa Izin International Travel & Tours Sdn Bhd,”tambahnya.

Sebarang maklumat mengenai aktiviti kempen boleh mengikuti perkembangan di media sosial PPZ-MAIWP dan layari www.zakat.com.my/yez2024. – KOSMO! ONLINE