KUALA TERENGGANU – Seramai 14 pengamal media Terengganu yang terjejas banjir baru-baru ini menerima bantuan Pasca Banjir Ihsan Komuniti Madani daripada Kementerian Komunikasi hari ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, setiap mangsa akan menerima bantuan kewangan RM1,000 sebagai tanda keprihatinan pihaknya kepada petugas media yang diuji sewaktu bencana tersebut baru-baru ini.
“Saya difahamkan walaupun terjejas banjir, mereka masih bertugas seperti biasa untuk menyalurkan maklumat kepada orang ramai dan ini sangat kita hargai,”katanya selepas menyampaikan sumbangan itu di Pulau Kambing di sini hari ini.
Pengamal media terbabit merupakan sebahagian 109 mangsa yang terpilih menerima bantuan menerusi program Pasca Banjir Ihsan Komuniti Madani berkenaan.
Sementara itu, pemberita sambilan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Mohd. Taha Yaacob, 51, bersyukur menerima bantuan tersebut selepas rumahnya di Kampung Tok Has, Besut ditenggelami air menyebabkan perabot rosak. – https://amiminerals.org/