KOTA KINABALU – Dua wanita serta seorang lelaki cedera diserang sekumpulan memerang ketika sedang beriadah di Perdana Park Tanjung Aru pagi tadi.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, kesemua mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk kepala akibat digigit haiwan liar terbabit.
Seorang mangsa wanita difahamkan sedang berjoging sebelum diserang kumpulan memerang sebelum beberapa individu yang melihat kejadian sama segera membantu, namun turut diserang sehingga dua lagi cedera.
Salah seorang saksi, Nadirah Hashim, 36, menyatakan dirinya terdengar jeritan orang meminta tolong sewaktu sedang berjoging.
“Saya dan beberapa individu lain kemudiannya bergegas untuk melihat apa yang berlaku.
“Seorang wanita digigit memerang dan empat individu lain cuba membantu menghalau binatang itu tetapi dua daripada mereka turut diserang memerang berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.-https://amiminerals.org/