KULIM – Mayat seorang wanita yang dihanyutkan kepala air di Taman Eko Rimba Sungai Sedim, di sini ditemukan kira-kira pukul 5.50 petang tadi.
Mayat mangsa, A. Kasthuri, 41, dijumpai di kawasan Lubuk Buluh iaitu kira-kira satu kilometer dari tempat dia dipercayai hilang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi Tech, Penolong Kanan Penguasa Bomba Azmir Hassan berkata, mangsa ditemukan orang awam dan anggota bomba semasa melakukan pencarian di sepanjang tebing sungai.
“Mangsa didapati telah meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,”katanya di sini hari ini.
Terdahulu Kosmo! Online melaporkan seorang wanita berusia 41 tahun dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan kepala air di Taman Eko Rimba Sungai Sedim, hari ini.
Kejadian dikatakan berlaku ketika mangsa berkelah di kawasan sungai itu bersama keluarga sempena cuti Deepavali.
Difahamkan, kepala air yang berlaku secara tiba-tiba menyebabkan mangsa tidak sempat menyelamatkan diri.
Pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 4.02 petang tadi sebelum melakukan operasi pencarian. – https://amiminerals.org/