[KEMASKINI] 2 cedera dilanggar Hilux, Vios di Jalan Klang Lama

JALAN KLANG LAMA TOYOTA VIOS TOYOTA HILUX

Tangkap layar video Toyota Vios dan Toyota Hilux dipandu arah sekumpulan orang ramai di sebuah kelab di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Dua lelaki cedera akibat dirempuh Toyota Hilux dan Toyota Vios yang dipandu melulu sekitar Jalan Klang Lama, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, laporan berhubung kejadian dibuat pengadu lelaki tempatan berusia 24 tahun.

“Pengadu melihat dua buah kenderaan jenis Toyota Hilux dan Toyota Vios keluar dari sebuah bangunan tempat letak kereta dan dipandu secara melulu di hadapan sebuah kelab.

“Kenderaan tersebut telah melanggar sekumpulan lelaki mengakibatkan lebih kurang dua orang mengalami kecederaan dan seorang mangsa telah dihantar ke hospital,” ujarnya dalam kenyataan awal pagi tadi.

Jelas beliau, kesemua mangsa masih belum membuat laporan polis.

“Pihak polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan kes masih dalam siasatan.

“Sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan,” katanya.

Terdahulu Kosmo! melaporkan satu insiden kekecohan berlaku di hadapan sebuah kelab di Jalan Klang Lama di sini, melibatkan dua kenderaan Toyota Vios dan Toyota Hilux dipandu secara melulu ke arah sekumpulan orang ramai.

Rakaman kejadian itu tular di media sosial serta memperlihatkan kedua-dua kenderaan itu dipandu secara melulu ke arah sekumpulan orang ramai di luar bangunan kelab. – https://amiminerals.org/.