Kedai jahit lejen 50 tahun bakal ditutup

KEDAI TUTUP

Syarikat Fah & Co akan ditutup 22 Disember ini.

PETALING JAYA – Pemilik sebuah kedai jahit, Syarikat Fah & Co memaklumkan premisnya akan ditutup pada 22 Disember ini selepas lebih 50 tahun beroperasi.

Kedai yang diasaskan bapanya selepas Perang Dunia Kedua ini sangat dikenali dengan pelbagai bahan jahitan seperti renda, benang wol, reben, dan benang merangkumi lebih 600 pilihan warna.

“Dahulu, perniagaan sangat maju, terutama ketika orang ramai masih menjahit pakaian sendiri. Saya masih ingat kod warna benang seperti merah 205 dan kuning 209,” katanya.

Bagaimanapun, selepas tahun 2000, jualan mula menurun apabila orang ramai beralih kepada pakaian siap yang mudah dibeli dalam talian.

Selain itu, pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadi cabaran terbesar apabila kedai terpaksa ditutup buat sementara waktu, menyebabkan penurunan mendadak dalam pendapatan.

Orang ramai yang pernah menjadi pelanggan setia kedai tersebut meluahkan rasa sedih dan kecewa dengan berita penutupan operasi kedai tersebut.

“Arwah mama selalu datang sini beli barang jahitan. Tahun ini dia berusia 85 tahun,” ujar Nazrahabdmunir.

“Ia adalah kedai pertama saya belajar jahitan silang, beli barang jahitan setiap kali selepas habis waktu persekolahan. Beberapa tahun kemudian, semasa mengandung, projek mengait untuk bayi saya. Nostalgia sungguh kedai ini, kuatkan hati pak cik dan selamat bersara,” kata Itsjashh.

“Sedihnya dah nak tutup selama-lamanya. Saya membeli di kedai pak cik sejak tahun 1980 an lagi, dengan ayah kepada pak cik ini lagi,” tambah Ummuzill. -https://amiminerals.org/