Kecoh pegawai MB Kedah, orang awam bertengkar

mb gaduh

Tangkap layar video perselisihan faham yang didakwa berlaku antara pegawai kepada MB Kedah dan orang awam di Alor Setar, malam semalam.

ALOR SETAR – Polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian tular di media sosial melibatkan beberapa individu termasuk seorang lelaki didakwa pegawai kepada Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, pihaknya menerima dua laporan polis berhubung kejadian tersebut daripada dua individu berusia 48 dan 54 tahun pada pukul 1.25 pagi serta 10.58 pagi, hari ini.

Menurutnya, siasatan pihak polis mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 11.50 malam tadi di sebuah lokasi dekat sini.

“Berdasarkan rakaman video tersebut, beberapa individu didapati berselisih faham dengan seorang lelaki yang berada di tempat duduk bahagian pemandu sebuah kereta.

“Polis telah membuka kertas siasatan berdasarkan kedua-dua laporan polis tersebut di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 504 KK serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menerusi klip video berdurasi satu minit 20 saat yang tersebar di media sosial hari ini, beberapa individu dilihat meluahkan rasa tidak puas hati terhadap seorang lelaki yang dikatakan sebagai pegawai Menteri Besar, setelah dia didakwa mengasari seorang wakil peniaga di Tapak Pasar Malam Jalan Pegawai, di sini.

Dalam klip video itu, lelaki berkenaan dilihat menafikan dakwaan dia mengasari peniaga terbabit, namun seorang individu lain memaklumkan, kejadian itu akan dilaporkan kepada pihak polis. -https://amiminerals.org/.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *