SHAH ALAM – Kerajaan negeri akan meneliti laporan jawatankuasa teknikal bagi jangka panjang terhadap kawalan di lokaliti lain yang berkemungkinan terdedah dengan insiden seperti di Putra Heights, Subang Jaya dekat sini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, fokusnya ketika ini adalah menyelesaikan insiden yang berlaku di Taman Putra Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru.
“Sudah pasti dalam laporan jawatankuasa teknikal nanti akan ada cadangan untuk kita teliti.
“Sebab jajaran gas itu panjang, hampir sebahagian besar Subang Jaya dilintangi oleh jajaran paip tersebut yang berdekatan dengan kawasan tertentu. Kita akan semak dengan Petronas Gas,”katanya pada sidang akhbar akhbar di Wisma Dewan Annex, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan negeri telah mengenal pasti lokasi lain yang berkemungkinan berlakunya insiden seumpamanya.
Dalam pada itu, Amirudin menegaskan tiada mana-mana individu ditahan berhubung kes itu setakat ini.
“Kalau ada pun kita panggil bagi dapatkan pengesahan atau membantu siasatan. Tetapi kalau ada kesalahan jenayah, itu pihak polis melakukan tindakan selnajutnya.
“Itu akan diperincikan Datuk Hussein Omar Khan (Ketua Polis Selangor) apabila kita dapat fakta dan data yang baharu.
“Siasatan baharu bermula di tapak semalam. Dari sanalah kita kembangkan, siasat dan dapatkan maklum balas lain. Yang pastinya, pihak polis akan memanggil kontraktor, pihak berkuasa tempatan dan jabatan lain berkaitan,”katanya. – https://amiminerals.org/