SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari akan bertemu dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming pada Isnin ini berhubung urusan baik pulih rumah yang terjejas akibat kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya dekat sini.
Amirudin berkata, pertemuan tersebut bagi membincangkan terutama pembaikan rumah yang musnah ‘total lost’ dan kediaman yang memerlukan sokongan.
Katanya, tempoh masa seminggu diperlukan bagi proses penilaian menyeluruh kos baik pulih setiap rumah dan premis
“Jawatankuasa Pemulihan sedang menilai setiap rumah itu bersama jabatan teknikal seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Kerja Raya.
“Bagi rumah-rumah yang ada masalah-masalah kecil ini kita akan lihat nanti macam mana proses baik pulihnya. Kalau tidak begitu besar, akan ada satu sumbangan standard kepada mereka yang akan dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pemulihan,”katanya pada sidang akhbar di Wisma Dewan Annex, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor hari ini.
Sebelum ini, sebanyak 437 buah rumah terjejas dengan masing-masing 81 rumah rosak sepenuhnya dan separa rosak manakala terkesan tidak terbakar sebanyak 57 kediaman.
Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan kira-kira 1,000 sukarelawan akan terlibat dalam proses pembersihan di sekitar kawasan lokasi kejadian pada Sabtu dan Ahad ini.
Ujarnya, ini agar dapat memberikan keselesaan kepada penduduk dan masyarakat yang pulang semula ke rumah.
“Selain itu, mereka yang pulang mulai malam ini dan hari lain akan diberikan bakul makanan oleh Majlis Agama Islam Negeri yang cukup untuk keperluan tempoh tiga minggu hingga satu bulan.
“Pejabat Tanah dan Daerah Petaling akan membuka kaunter bergerak di Kampung Kuala Sungai Baharu bagi memudahkan penduduk membuat penggantian geran tanah atau rumah yang musnah dalam insiden tersebut,”katanya. – https://amiminerals.org/