PENDANG – Seorang bapa bimbang akan keselamatan anak lelakinya yang menghilangkan diri selepas keluar menuju ke tempat pengajiannya di Institut Kemahiran Mara (IKM) Sungai Petani pada Selasa lalu.
Menurut Azhari Othman, 56, anaknya, Muhammad Alif Danial, 21, keluar dari rumah mereka di Kampung Pokok Tai, Jenun di sini pada Selasa lalu dengan menunggang motosikal jenis SYM.
“Muhammad Alif tidak pulang ke rumah seperti biasa. Saya pergi ke IKM dan terkejut apabila dimaklumkan dia (anak) tidak hadir ke kelas pada hari tersebut,”katanya ketika ditemui di Bukit Jenun hari ini.
Azhari memberitahu, dia dan beberapa rakan cuba mencari Muhammad Alif di sepanjang laluan ke IKM, namun gagal menemui pemuda tersebut.
“Bimbang dengan keselamatan anak, saya membuat laporan di Balai Polis Guar Chempedak. Setakat ini saya mencari anak di sekitar Kuala Muda, Yan dan Pendang, namun setakat ini tiada petunjuk,”katanya.
Jelas pesara anggota tentera itu, dia sekeluarga tidak mempunyai sebarang masalah dengan Muhammad Alif yang merupakan pelajar semester akhir Diploma Elektri, malah pada malam sebelum itu dia masih bergurau dengan abang serta adiknya.
“Sewaktu hendak keluar rumah (Selasa) dia sempat berbual dan mencium ibunya seperti kelaziman setiap kali hendak pergi ke IKM,”ujarnya.
Tambahnya, telefon bimbit Muhammad Alif tidak dapat dihubungi dan berharap orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubunginya di talian 013-4297462 atau ,mana-mana balai polis berhampiran. – https://amiminerals.org/