KDN selesai 6,903 permohonan dokumen pengenalan diri pelajar

WhatsApp Image 2025 05 05 at 8.13.14 PM 1

Saifuddin menyampaikan MyKad kepada Nurul Arini sempena Program Ziarah dan Meraikan Pelajar Cemerlang SPM di Kampung Bukit Tembok, Pasir Panjang. – Foto oleh NOR AINNA HAMZAH / KOSMO!

PORT DICKSON – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah menyelesaikan sebanyak 6,903 permohonan membabitkan dokumen pengenalan diri golongan pelajar di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ini adalah susulan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam usaha menangani masalah pelajar sekolah yang berada dalam sistem pendidikan arus perdana tetapi tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

Malah menurutnya, dia memberikan jaminan kementeriannya akan cuba menyelesaikan masalah tersebut sekurang-kurangnya Jun ini bagi memudahkan pelajar yang membuat permohonan berkenaan untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih baik lagi.

“Jadi melalui usaha pantas yang kami buat ini menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) Didik, lebih kurang 12,000 pelajar yang sudah pun ada dalam arus perdana persekolahan tapi tak lengkap dokumen macam kes Nurul Arini Abdullah, 18.

“Nurul ini merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Panjang yang mendapat keputusan cemerlang 9A dan dasar kita jelas adalah bagi mempemudahkan mereka untuk memiliki dokumen pengenalan diri,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Program Ziarah dan Meraikan Pelajar Cemerlang SPM di Kampung Bukit Tembok, Pasir Panjang, di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan, selain menyampaikan kad pengenalan (MyKad), Saifuddin turut menyampaikan bantuan komputer riba, pencetak dan kediaman pelajar tersebut juga akan dilengkapi kemudahan wiFi secara percuma selama dua tahun. – https://amiminerals.org/