Karnival Semarak Kasih Merdeka PTPTN 2024 ajak masyarakat menabung

PTPTN KARNIVAL SEMARAK MERDEKA PTPTN

Norliza (tengah) ketika sesi Flag Off Larian Kasih Merdeka PTPTN 2024 di Bayan Baru, Pulau Pinang sempena Hari Kebangsaan.

PETALING JAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah menganjurkan Karnival Semarak Kasih Merdeka PTPTN 2024 Bersama HAWA Pulau Pinang pada hari ini.

Karnival Semarak Kasih Merdeka PTPTN 2024 merupakan penganjuran kali kedua diadakan secara ‘on-ground event’ setelah penganjuran kali pertama di Dewan Koperasi Sungai Gelugor mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, karnival itu merupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) PTPTN bertujuan meraikan bulan kebangsaan di samping membudayakan penabungan dalam kalangan masyarakat.

“Menerusi karnival ini, PTPTN turut menerapkan nilai kemerdekaan melalui perancangan kewangan yang baik agar masyarakat bebas merdeka daripada hutang.

“Sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi, PTPTN telah menyediakan instrumen simpanan terbaik bagi mendorong dan menggalakkan masyarakat membuat penabungan bagi tujuan pendidikan tinggi anak-anak,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, langkah itu sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman pendidikan, bahkan mereka telah ‘merdeka’ daripada membuat pinjaman pendidikan dan menyambung pengajian menggunakan simpanan yang dibuat di Simpan SSPN.

Karnival Semarak Kasih Merdeka PTPTN 2024 menyediakan pelbagai aktiviti seperti pameran jualan usahawan dan rakan kolaborasi, Jualan Rahmah, Klinik Memanah, Permainan e-Sport, pertandingan mewarna dan pakaian beragam, slot Genius IQ PTPTN, cabutan hadiah serta penampilan istimewa Maskot P&T.

Selain itu, PTPTN turut membuka kaunter promosi Simpan SSPN yang menawarkan pelbagai cenderamata eksklusif bagi pembukaan akaun atau membuat penambahan deposit pada hari ini.

Norliza berkata, acara kemuncak program ini ialah Larian Kasih Merdeka PTPTN 2024 iaitu aktiviti larian disertai oleh pelajar Institusi Pendidikan Tinggi, rakan strategik, pegawai PTPTN dan penduduk setempat.

“Program ini sangat bermakna dalam memupuk semangat patriotisme di samping menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

“Kemerdekaan sewajarnya difahami bukan hanya bebas daripada dijajah,” katanya. – https://amiminerals.org/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *