Kap bersama England lonjak semangat Madueke

CHELSEA 2

MADUEKE

LONDON – Selepas menampilkan aksi cemerlang bersama England pada Liga Negara-Negara Eropah, pemain sayap Chelsea, Noni Madueke berharap dapat mengulanginya apabila saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) kembali bersambung.

Pemain berusia 22 tahun itu pastinya akan terus dijadikan sebagai sandaran The Blues menjelang perlawanan keempat Liga Perdana menentang Bournemouth yang akan berlangsung di Stadium Vitality malam ini.

Madueke berkata, permainannya sudah semakin matang dan dia bersedia untuk menggalas tanggungjawab lebih besar bagi membantu jentera serangan Chelsea menembusi benteng pertahanan pasukan lawan.

“Apa yang pasti, corak permainan saya adalah untuk cuba bermain secara menyerang dan memberikan masalah kepada pasukan lawan. Saya mahu ulang apa yang dilakukan ketika bersama England sebelum ini.

“Sekarang saya sudah tidak sabar untuk kembali ke Chelsea dan bersama rakan sepasukan yang lain mengharungi perlawanan liga. Saya harap dapat membantu pasukan dari segi jaringan ataupun bantuan gol,”katanya.

Meskipun dia dikatakan berada dalam senarai untuk dijual pada jendela perpindahan lalu, namun bekas pemain PSV Eindhoven itu membuktikan kemampuannya dengan meledak hatrik ketika membantu Chelsea membelasah Wolverhampton Wanderers 6-2 bulan lalu.

Justeru, Madueke dijangka akan terus ‘mengganas’ ketika bertemu Bournemouth, lebih-lebih lagi dia berbekalkan keyakinan cukup tinggi selepas melakukan penampilan pertamanya bersama skuad senior England. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *