TEMERLOH – Seorang wanita merayu bantuan katil boleh laras, tilam serta susu khas untuk kegunaan bapa mentuanya, Syukri Hamid, 72, yang menderita penyakit saluran jantung tersumbat dan komplikasi pendarahan usus.
Wanita berkenaan, Raja Aimie Nadia Raja Amran, 32, berkata, bantuan itu diperlukan bagi keselesaan warga emas itu yang kehilangan kaki kanan akibat penyakit dideritanya sejak Mei lalu.
“Bapa mentua perlukan katil hospital boleh laras, tilam. Belanja untuknya juga kira-kira RM1,500 sebulan termasuk susu khas, lampin pakai buang selain peralatan merawat luka badannya akibat terlantar.
“Suami hanya bekerja sebagai tukang kebun sekolah dengan pendapatan kira-kira RM1,500 dan dengan jumlah itu dia menanggung keluarga termasuk kos-kos diperlukan bapa mentua,” katanya baru-baru ini.
Tambah Raja Aimie Nadia, dia terpaksa berhenti kerja di sebuah kilang kayu bagi membantu suami, Moryadi Syukri, 38, menguruskan bapa mentua.
Ibu kepada tiga anak berusia antara lima hingga 11 tahun itu memberitahu, bagi mencari pendapatan tambahan, dia berniaga masakan panas dan burger pada sebelah petang berdekatan rumah.
“Selain keperluan dapur, persekolahan anak, bil termasuk rawatan bapa mentua, saya juga perlu menyimpan untuk rawatan bersalin dan berpantang kerana sedang mengandung lima bulan.
“Adik-beradik sebelah suami ada yang membantu bagi mengurangkan kos perbelanjaan bapa,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 156020480640 atas nama Raja Aimie Nadia Raja Amran.