KUALA NERANG – Sepasang suami isteri terpaksa bermalam di atas pangkin selepas rumah mereka di Kampung Pisang, di sini dilanda banjir kilat pada Jumaat lalu.
Menurut Saleha Hamzah, 54, dia dan suami, Ibrahim Jusoh, 55, belum sempat membersihkan rumah dan barangan yang terendam di dalam banjir.
“Semua barangan seperti peti ais dan tilam rosak. Kawasan rumah juga belum boleh diduduki kerana masih berlumpur dan dipenuhi barang yang basah.
“Pada malam kejadian, kami tumpang rumah saudara dan hari berikutnya hingga hari ini kami pasang kelambu dan tidur atas pangkin ini sahaja,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Katanya, banjir kira-kira pukul 8 malam itu berlaku selepas hujan lebat selama kira-kira setengah jam.
“Air turun dari bukit di belakang rumah menyebabkan kawasan rumah dinaiki air dengan cepat. Suami hanya sempat mengangkat sebuah motosikal ke dalam rumah.
“Sebuah kereta Proton Savvy tenggelam hingga paras papan pemuka, manakala dua lagi motosikal terbalik dalam bah. Tiga ekor anak kambing juga mati akibat lemas,” ujarnya.
Kata Saleha, kejadian berlaku dengan sangat pantas tanpa sempat dia menyelamatkan barang-barang ke tempat lebih tinggi.
“Biasanya air akan cepat turun dan masuk ke kawasan bendang tetapi kali ini paras banjir tinggi sehingga masuk ke dalam rumah.
“Saya tidak sangka rumah kami dilanda banjir kilat kerana saya sebelum ini bertugas sebagai anggota Jabatan Sukarelawan (Rela) bagi menjaga sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Alor Setar baru-baru ini.
“Kami berdua bukanlah orang senang namun terima kejadian ini sebagai ujian Allah. Saya harap ada pihak yang dapat bantu menghulurkan bantuan termasuk menyiapkan rumah ini yang belum siap sepenuhnya,” katanya.
Dalam pada itu, jumlah mangsa banjir di Kedah meningkat semula kepada 825 orang daripada 274 keluarga sehingga pukul 5 petang semalam selepas hujan lebat pada Jumaat dan kelmarin.
Mengikut data Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa ditempatkan di tujuh PPS di daerah Pokok Sena dan Kubang Pasu.
Seramai 533 orang daripada 168 keluarga dipindahkan ke empat PPS di Pokok Sena, manakala seramai 292 orang daripada 106 keluarga ditempatkan di tiga PPS di Kubang Pasu.
Sebanyak lima sungai kembali berada pada paras bahaya iaitu Sungai Laka dan Sungai Padang Terap di Kubang Pasu; Sungai Perik di Padang Terap serta dua lokasi di Sungai Anak Bukit iaitu di Taman Aman dan Jambatan TAR. -https://amiminerals.org/